Selamat Tahun Baru Cina | Walk-a-Payung, Kuching | The White Bat | Berita SLE | Hari Lupus Sedunia | Kem Keluarga |


  • Laman Utama
  • 中文版
  • English Version
  • Site search

    Persatuan SLE Malaysia


      Danceworks Productions kembali demi membantu PSLEM.
      Klik di sini
      WAP

      22 Mei 2011
      Dataran Timur,PJ
      PSLEM mengucapkan terima kasih kepada sukarelawan dan peserta yang terlibat. Jumpa lagi WAP 2012!

    2007 – Suatu Tahun Yang Penuh Dengan Peristiwa

    Mac

    10 Mac
    Ahli-ahli Exco kami “lepak” di Starbucks untuk mengumpul dana

    PSLEM ambil langkah yang strategik dengan mengubah tempat mesyuarat bulanan Ahli Exco dari pejabat kami ke Starbucks Sunway Pyramid. Perjumpaan ini telah melayakkan kami memenangi hadiah wang tunai sejumlah RM1,000 dari FlyFm untuk kumpulan yang terbesar dan yang “melepak” paling lama di Starbucks café itu. Usaha mengumpul dana ini ialah idea Cik Sarah Kambali, seorang ahli PSLEM. Syabas Sarah!

    24 Mac
    Forum mengenai SLE di Melaka

    Lebih daripada 70 pesakit SLE dan ahli keluarga mereka telah mendapat faedah daripada forum dua sessi – satu sessi Bahasa Malaysia dan satu sessi Bahasa Mandarin – yang diadakan di Hotel Melaka City Bayview. Dr. Amir Zain, Pakar Perunding Rheumatologi dari Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Puan Jaya Mayavar, Pegawai Dietetik di Hospital Melaka, berucap di sessi Bahasa Malaysia sementara Dr. Kok Keng Weng, Pakar Perunding Hematologi dari Pusat Perubatan Mahkota, serta Puan Yeoh Pei Sien, Pegawai Dietetik di Hospital Batu Pahat, mengambil sessi Bahasa Mandarin. Topik-topik pada hari itu ialah “Apakah SLE?” dan “Pemakanan yang Sihat bagi Pesakit SLE”. Puan Theresa Ng Siaw Yean dari Melaka telah mengumpulkan beberapa orang handai-taulan untuk menaja forum serta jamuan ringan yang dihidangkan. Terima kasih, Theresa!


    Dr. Amir Zain (kanan) telah bercakap mengenai “Apa itu SLE?” diikuti oleh Ms. Jaya Mayavar yang telah memberi penerangan yang mendalam darihal pemakanan untuk pesakit SLE

    Mei

    10 Mei
    10hb Mei adalah Hari Lupus Sedunia!

    YB Dato’ Lee Kah Choon, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan, telah melancarkan upacara peringatan Hari Lupus Sedunia Malaysia dengan bacaan pengisytiharan Hari Lupus Sedunia serta pemotongan sebuah kek Hari Lupus Sedunia. PSLEM ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak akhbar dan stesen-stesen TV serta radio yang telah memberikan publisiti kepada satu hari yang sungguh bermakna kepada penghidap SLE di seluruh dunia. Terima kasih juga kerana telah berjaya meningkatkan kesedaran mengenai SLE, sejenis penyakit yang kurang diketahui tetapi berpotensi untuk menyebabkan kerosakan teruk kepada tisu serta organ.


    Dato’ Lee Kah Choon (dua dari kanan) memotong kek Hari Lupus Sedunia bersama Pemangku Presiden PSLEM Prof. Madya Dr. Esha Das Gupta (dua dari kiri), disaksikan oleh Penaung “Walk-a-Payung”, YB Yong Dai Ying (kanan sekali), dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur “Walk-a-Payung”, Ms Ooi Chooi Im

    24 – 27 Mei
    Kongres Lupus Sedunia di Shanghai

    Pemangku Presiden Prof. Madya Dr. Esha Das Gupta telah mewakili PSLEM di Kongres Lupus Sedunia di Shanghai. Beliau juga memberi payung Hari Lupus Sedunia Malaysia sebagai cenderamata kepada wakil-wakil kumpulan sokongan Lupus dari lain negara.

    27 Mei
    “Walk-a-Payung” memperingati Hari Lupus Sedunia 2007

    Acara “Walk-a-Payung” – berjalan dengan mengguna payung yang dicetak dengan logo Hari Lupus Sedunia – telah diadakan bagi memperingati Hari Lupus Sedunia 2007 dan untuk menekankan bahawa pesakit SLE perlu mengelak dari cahaya matahari. Lebih 700 orang berjalan kaki sejauh 2 km bermula dari Pusat Komuniti MBPJ di Jalan BU3/1, Bandar Utama, Petaling Jaya diketuai oleh YB Yong Dai Ying, Timbalan Pengerusi Wanita PGRM. Peristiwa separuh hari ini juga telah menyediakan ujian percuma untuk gula dalam darah, tekanan darah, indeks massa badan, dan kepadatan tulang; kuiz mengenai SLE, serta cabutan bertuah. ”Walk-a-Payung” ini telah berjaya mencapai kategori “Penyertaan Terbesar Pejalan Kaki Berpayung” di Buku Rekod Malaysia dan juga berjaya mengumpulkan dana sejumlah RM154,563.98 bagi mengembangkan khidmat kaunseling percuma PSLEM di klinik-klink SLE di seluruh Malaysia. Electronic Commerce Technology Sdn. Bhd (RealRewards) adalah penderma terbesar dengan derma berjumlah RM50,000.


    Lebih daripada 700 orang telah mengambil bahagian dalam acara “Walk-a-Payung” bagi meraikan Hari Lupus Sedunia 2007 dan juga untuk memberi kesedaran bahawa pesakit SLE mesti mengelak daripada cahaya matahari

    June

    2 Jun
    Forum SLE di Terengganu

    Buat pertama kalinya, PSLEM telah mengadakan suatu forum awam di Terengganu. Forum itu yang dianjurkan bersama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, telah dihadiri oleh lebih daripada 130 orang peserta yang terdiri daripada pesakit SLE, ahli keluarga mereka, serta kakitangan hospital. Topik-topik forum adalah “Apakah SLE?” oleh Dr. Zawawi Nordin, Ketua Unit Nefrologi HSNZ, “Kulit dalam SLE” oleh Dr. T. Suganthi, Perunding Dermatologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan “Hidup dengan SLE” oleh Puan Siti Nurbaya Zakaria, seorang pesakit SLE dari Besut, Terengganu.


    Para peserta di forum awam mengenai SLE di Kuala Terengganu, mendengar dengan penuh minat

    2 – 3 Jun
    Kem Keluarga di Merang, Terengganu

    Kem Keluarga SLE yang pertama di Terengganu telah diadakan di Merang Suria Resort. Walaupun kem ini hanya disertai oleh 22 orang peserta, namun mereka yang hadir mendapat banyak manfaat, terutamanya melalui sessi “Doktor & Anda”. Pada sessi ini, pesakit-pesakit telah diberi peluang untuk menyuarakan isu-isu yang bermain di kepala mereka. Ucapan terima kasih khas buat ”doktor-doktor bertugas” — Dr. T. Suganthi dari HKL dan Dr. Abdul Halim Gafor dari Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah menjawab semua soalan dengan sabar. Adalah diharapkan bahawa Forum SLE serta Kem Keluarga di Terengganu ini, akan menjadi permulaan bagi kumpulan sokongan pesakit SLE di negeri tersebut.

    3 Jun
    Forum Doktor di Kuala Terengganu

    Suatu Forum Doktor mengenai SLE telah dianjurkan bersama Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu. Forum ini telah dipengerusikan oleh Dr. Zawawi Nordin, Ketua Unit Nefrologi HSNZ, sementara penceramahnya adalah Dr. Abdul Halim Gafor, Pakar Perunding Nefrologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (“Gambaran Keseluruhan SLE” dan “Lupus Nefritis”) serta D. T. Suganthi, Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur (“Penglibatan Kulit dalam SLE”).

    Julai

    2 - 31 Julai
    Ahli-ahli di Sandakan mengikuti kursus ICT

    Ahli-ahli PSLEM Sandakan - Monita Cheong, Leong Ling Ling, Nancy Lee @ Maimun, Masni Maidin dan Amy Tan Li Keang – telah diberikan peluang untuk mengikuti kursus ICT yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Sumber & Kemajuan Teknologi Maklumat untuk persatuan-persatuan dan organisasi bukan kerajaan. Pada 16 Januari 2008, Monita Cheong telah mewakili ahli-ahli PSLEM Sandakan dalam upacara penyampaian sijil di Sabah Hotel.


    Monita Cheong, Wakil PSLEM Cawangan Sandakan, menerima sijil kursus ICT bagi pihak ahli-ahli lain daripada Datuk Dr. Yee Moh Chai, Menteri Negeri Pembangunan Sumber dan Teknology Maklumat

    Ogos

    16 Ogos
    Kempen Rakyat Malaysia Prihatin

    Syarikat kad setia pelanggan RealRewards telah melancarkan pertandingan perekat kereta ”Rakyat Malaysia Prihatin” untuk mengutip derma bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit SLE dan mereka yang hidup bersama HIV/AIDS. Sekeping perekat kereta telah diberi bagi setiap derma bernilai RM10 tunai atau 1,500 mata Real. Mereka yang mempamerkan perekat kereta berkenaan di cermin kereta mereka layak untuk menyertai pertandingan “Spot-2-Win”. Pertandingan ini menawarkan hadiah pakej percutian bagi empat orang sekeluarga serta mata Real.


    Memerhatikan perekat kereta olok-olok, dari kiri: Penasihat Perubatan PSLEM Prof. Datin Dr. Norella Kong, Naib Pengerusi Wanita Parti Gerakan Malaysia, YB Yong Dai Ying, Pengarah Eksekutif RealRewards, Datin Rahmah Kassim, serta Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof. Dr. Adeeba Kamarulzaman

    September

    1 September
    Forum SLE di Pulau Pinang

    Pesakit-pesakit SLE di Pulau Pinang berpeluang bertemu dengan pesakit-pesakit lain di kawasan utara pada suatu forum di Hospital Pulau Pinang yang disertai oleh lebih daripada 80 peserta. Di antara topik yang dibincangkan adalah “Apa itu SLE?” oleh Dr. Tan Bee Eng, Pakar Perunding Rheumatologi di Hospital Pulau Pinang (Bahasa Mandarin) dan Dr. Liew Pek Kuen, Pakar Perubatan di Hospital Pulau Pinang (BM); “Buah Pinggang dalam SLE” oleh Dr. Liew Yew Fong, Pakar Perunding Nefrologi di Hospital Pulau Pinang (BM) dan Dr. Kok Lai Sun, Pakar Perubatan di Hospital Pulau Pinang (Bahasa Mandarin). Pesakit-pesakit Puan Shatiffah Mohd. Shah (BM) dan Cik Loh Pui Yee (Bahasa Mandarin) telah berucap tentang “Hidup Bersama SLE”.


    Dr. Tan Bee Eng (kanan), yang akan membentuk cawangan PSLEM baru di Pulau Pinang menerima hadiah kerongsang PSLEM daripada Ahli Exco Helen Yong, bagi menghargai sumbangan beliau tehadap kejayaan Forum SLE di Pulau Pinang

    1 & 2 September
    Kem Keluarga SLE yang pertama di Pulau Pinang

    Lebih daripada 80 orang pesakit SLE dan ahli keluarga mereka dari kawasan utara dan tengah telah berkumpul pada hujung minggu di The Crown Jewel, Tanjung Bungah pada Kem Keluarga SLE yang pertama kali diadakan di Pulau Pinang. Aktiviti-aktiviti yang diadakan termasuklah perbincangan sesama pesakit dalam satu kumpulan dan keluarga pesakit SLE pada kumpulan yang lain untuk membolehkan setiap orang mempelajari daripada pengalaman masing-masing. Sessi “Doktor & Anda” telah dikendalikan oleh Dr. Tan Bee Eng dari Hospital Pulau Pinang dan Dr. Anwar Arshad dari Pusat Perubatan Putra, Alor Setar. Kedua-dua doktor merupakan Pakar Perunding Rheumatologi. Dr. Anwar juga telah bercakap mengenai “Peranan Ubat-ubatan dalam SLE”.

    November

    25 November
    Larian Kebajikan “Hash” Bukit Lanjan

    Lebih daripada 130 orang telah mengalami keseronokan (dan keazaban!) larian ”hash” yang terkenal di seluruh dunia -- mungkin buat pertama kali dalam hidup mereka. Peristiwa ini diadakan di Desa Temuan Bukit Lanjan, penempatan Orang Asli yang sangat indah di Damansara Perdana, Petaling Jaya. Larian kebajikan bagi membantu pesakit-pesakit SLE itu telah dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan Kawasan Bukit Lanjan serta the KL Dalmatians Hash House Harriers. Penyertaan adalah melalui derma sebanyak RM30 kepada PSLEM. Selepas larian itu, peserta telah dihiburkan dengan tarian kebudayaan yang bersemangat oleh Orang Asli serta lawatan ke Muzium Orang Asli Desa Temuan.


    “Black Jack” Maniam dari KL Dalmatians Hash House Harriers, diapit oleh Presiden PSLEM, Dr. Heselynn Hussein(kanan) dan KL Dalmatians Grand Master “Medic” Kumar, menyampaikan taklimat penting sebelum larian