Hari Lupus Sedunia 2010 di Malaysia
Sempena memperingati Hari Lupus Sedunia tahun ini, Persatuan SLE Malaysia (PSLEM) telah mengadakan satu forum setengah hari pada 9 Mei (sehari sebelum Hari Lupus Sedunia pada 10 Mei) berdasarkan tema “Penjagaan untuk Pesakit Lupus”. Tema ini memperakui hakikat bahawa walaupun lupus merupakan suatu gangguan auto-imun yang serius, namun dengan diagnosis awal serta rawatan dan penjagaan yang betul, terdapat harapan bagi mereka yang telah didiagnosis menghidap penyakit ini.
Acara yang diadakan di auditorium Institut Oftalmologi Negara, yang terletak dalam bangunan Hospital Mata Negara Tun Hussein Onn, bermula dengan pemeriksaan gula dalam darah, tekanan darah dan indeks jisim tubuh, serta perundingan percuma yang disediakan oleh kakitangan Columbia Asia Extended Care Hospital. Selepas tamat pemeriksaan, sarapan pagi telah dihidangkan.
Akibat daripada sambutan yang amat menggalakkan, sebahagian daripada peserta-peserta yang berjumlah lebih kurang 260 orang terpaksa berdiri. Peserta-peserta terdiri daripada pesakit dan ahli keluarga mereka, jururawat dan kakitangan perubatan lain, serta orang awam. Penceramah-penceramah forum – doktor-doktor yang berada di bahagian hadapan pemberian penjagaan bagi pesakit-pesakit SLE di Malaysia – telah bercakap tentang perkara-perkara yang berkisar dari organ-organ yang terlibat dalam SLE hingga ke jenis-jenis ubat yang digunakan serta kesan sampingannya, dari diet dalam SLE hingga ke cara untuk menjaga kesihatan mereka. Dua buah forum dijalankan serentak, satu dalam Bahasa Malaysia bergabung dengan Bahasa Inggeris, dan satu lagi dalam Bahasa Mandarin.
Sebelum forum awam berkenaan bermula, Jawatankuasa Eksekutif PSLEM telah naik ke pentas untuk memotong kek Hari Lupus Sedunia, sebuah kek yang mempunyai logo Hari Lupus Sedunia di atasnya. Upacara pemotongan kek Hari Lupus Sedunia ini telah menjadi satu tradisi semenjak Hari Lupus Sedunia 2007.
Oleh kerana 9 Mei juga merupakan Hari Ibu, PSLEM telah menyediakan program khas bagi kanak-kanak yang datang bersama ibu bapa mereka ke forum awam berkenaan. Aktiviti-aktiviti yang disediakan termasuklah melukis kad Hari Ibu dengan rama-rama, serta menghias kek cawan untuk dimasukkan ke dalam kotak hadiah, yang kemudiannya diikat dengan reben. Wajah-wajah bangga dan senyuman yang terukir di muka ibu-ibu, yang kebanyakannya pesakit SLE, amat memberi kepuasan kepada kami dan membuat segala usaha kami berbaloi.
PSLEM ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Roche (Malaysia) Sdn. Bhd. yang telah menaja kos auditorium dan makanan yang dihidangkan pada hari itu, dan Ego Pharm Malaysia Sdn. Bhd. yang telah membekalkan sampel-sampel krim penahan matahari kepada pesakit-pesakit SLE.
![]() |
Presiden PSLEM Prof. Madya Dr. Esha Das Gupta menyambut kedatangan peserta-peserta Forum Awam Hari Lupus Sedunia
![]() |
Pemotongan kek Hari Lupus Sedunia oleh Ahli Jawatankuasa PSLEM
Dari kiri ke kanan: Ooi Chooi Im (Bendahari Kehormat), Helen Yong (bekas Penolong Bendahari Kehormat), Prof. Madya Dr. Esha Gupta Das (Presiden), Dr. Heselynn Hussein (Bekas Presiden), Nur Shaminah Mustafa Kamalu (Setiausaha Kehormat)
![]() |
Bekas Presiden PSLEM Dr. Heselynn Hussein semasa penyampaian beliau tentang “Bagaimana SLE Boleh Menjejaskan Badan Anda”
![]() |
Sesi Mandarin oleh Dr. Loo Kok Lim, Pakar Perunding Reumatologi, Hospital Pantai Ipoh. Beliau telah bercakap tentang bagaimana pelbagai organ boleh terlibat dalam SLE
![]() |
Kanak-kanak bergembira semasa menjalankan aktiviti melukis kad serta menghias kek cawan dan kotak hadiah





